Kembara Falak, Jelajah Masjid Negeri Pahang Siri 2 Tahun 2024

Alhamdulillah, telah berlangsung program Kembara Falak, Jelajah Masjid Negeri Pahang siri 2 bagi tahun 2024 bertempat di Dewan Auditorium MTNP dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Pahang bersama penceramah jemputan iaitu Encik Shahrin bin Ahmad.


Turut hadir Tuan Haji Mohd Lafzul Bin Muda Al-Hafiz, Ketua Pegawai Eksekutif MTNP.


Kenali Encik Shahrin Ahmad.


Pemilik Falak Online, merupakan seorang penggiat astronomi, konsultan dan penceramah dalam bidang teknologi, perkomputeran dan pembangunan sistem perisian astronomi.


Pendidikan formal beliau ialah Bacelor Sains Komputer di Universiti Putra Malaysia (1998)


Mempunyai 36 tahun pengalaman di dalam bidang Astronomi sejak tahun 1984. Beliau juga berpengalaman luas di dalam bidang perkomputeran astronomi, peralatan astronomi dan astrofotografi.


Beliau sering dijemput menyampaikan kertas kerja di dalam seminar dan konvensyen Falak dan Astronomi di Malaysia, serta bertindak sebagai penceramah bebas yang memperkenalkan keindahan alam semesta kepada masyarakat, di sekolah-sekolah, universiti dan masjid/surau.


Beliau juga mengendalikan bengkel dan menjadi tenaga pengajar di dalam beberapa siri kursus astronomi dan astrofotografi.


Beliau merupakan penasihat kepada Kelab-Kelab Falak Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang, di bawah naungan Jabatan Mufti Negeri Pahang.


Beliau juga ialah Ahli Jawatankuasa Falak Syarie Wilayah Persekutuan dan Ahli Jawatankuasa Rukyah Wilayah Persekutuan.


Beliau ialah salah seorang penulis buku panduan Modul Sukatan Ko-Falak Negeri Pahang dan Modul Falak Kelab Falak Wilayah Persekutuan.


Beliau menjejaki fenomena Gerhana Matahari Penuh dan Gerhana Matahari Cincin, dan telah mengembara ke negara-negara berikut:


Gerhana Matahari Penuh di Side, Turki (Mac 2006)

Gerhana Matahari Cincin di Anyer, Indonesia (Jan 2009)

Gerhana Matahari Penuh di Jiaxing, China (Julai 2009)

Gerhana Matahari Penuh di Mareeba, Australia 14 Nov 2012)

Gerhana Matahari Cincin di Newan, Australia (10 Mei 2013)

Gerhana Matahari Penuh di Palembang, Indonesia (9 Mac 2016)

Gerhana Matahari Penuh di Oregon, Amerika Syarikat (21 Ogos 2017)

Gerhana Matahari Cincin di Ras Ruwais, Oman (26 Disember 2019)


Beliau juga amat menggemari langit selatan terutama dari Australia, dan telah ke sana beberapa kali (2009, 2012, 2013, 2014, 2016) untuk merakam keindahan langit malam yang begitu menakjubkan.


Beliau memiliki sebuah Balai Cerap persendirian di rumahnya di Sri Damansara, yang dikenali sebagai ShahGazer Observatory yang telah siap dibina pada Feb 2011. Peralatan astronomi seperti Teleskop, Kamera CCD yang dipasang di balai cerap tersebut membolehkan beliau menerokai langit siang dan malam, dan merakamnya menerusi kamera khas untuk dikongsi dengan orang ramai. Foto-foto beliau sering terpilih di dalam beberapa laman web Astronomi luar negara, seperti UniverseToday.com dan Spaceweather.com


Beberapa foto beliau telah diterbit di dalam buku tulisan luar negara.


Beliau merupakan salah seorang ahli Virtual Star Party, yang dianggotai oleh peminat astronomi sedunia dari Amerika Syarikat, Kanada, Australia yang memancarkan live streaming dari teleskop ke alam maya menerusi Google+ Hangout. pada sekitar tahun 2014-2015


Penerima beberapa geran, beliau kini fokus membangunkan perisian integrasi instrumentasi astronomi menerusi syarikat beliau, AstroTech Consulting & Services. Beliau percaya untuk menguasai ilmu Astronomi sekarang, seseorang perlu menguasai segala teknologi serta skil yang mendokongnya, seperti perkomputeran, matematik, kemampuan mengolah data dan mencanainya menjadi maklumat yang berguna.


Beliau telah menulis beberapa perisian integrasi Astronomi sendiri untk mengawal peralatan cerapan beliau di Balai Cerap. Sistem kawaslan ini dibuat menggunakan standard ASCOM yang digunapakai oleh majoriti perisian astronomi masa kini.


Beliau juga menghasilkan Almanak Astronomi yang fokus kepada fenomena langit yang dapat dilihat dari Malaysia. Data-data yang dikira ini telah digunapakai oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Mufti Negeri Pahang, Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang di dalam kalendar falak masing-masing.


Beliau juga memberi khidmat nasihat secara langsung atau tidak langsung kepada komuniti peminat Astronomi di Malaysia menerusi portal beliau, Falak Online, serta laman sosial Facebook dan Twitter. Selain itu, beliau juga turut terlibat di dalam pembangunan perisian, penambahbaikan beberapa buah balai cerap di Malaysia.


Beliau juga pernah ditemubual oleh MHI TV3, TV1, Astro Awani, Majalah 3, TV Al-hijrah, Radio IKIM, Utusan Malaysia, Sinar Harian, Kosmo, Harian Metro, New Straits Times dan Majalah Infiniti.

Scroll to Top