Pelajar Cilik SRTNP Sertai Pameran Inovasi

Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang (SRTNP) telah menghantar dua pasukan inovasi bagi menyertai Pameran 14th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2024 yang diadakan pada 7 hingga 9 Mei 2024 bertempat di Dewan Kompleks Sukan UMPSA, Kampus Gambang.


Pameran Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2024 penganjuran kali ke-14 menyaksikan seramai 255 pempamer bertanding bagi kategori pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS), staf UMPSA dan staf IPTA/IPTS.


CITREX merupakan acara tahunan anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi yang diadakan secara fizikal bagi melahirkan ramai penyeldik dan mengenal pasti projek-projek penyelidikan yang berpotensi untuk diketengahkan yang melibatkan projek penyelidikan staf serta pelajar UMPSA.


CITREX kali ini juga masih mengekalkan penjurian melibatkan barisan juri dalam kalangan industri, agensi kerajaan dan akademia luar.


Antara industri dan agensi yang hadir adalah Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Petronas, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), UMP Holdings, Indah Water Konsortium (IWK), Sime Darby, Yayasan Pahang Plantation (YPP), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Department of Occupational Safety & Health (DOSH), MRANTI, Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dan Capital Education & Skills Development Sdn. Bhd.


Semoga dengan penglibatan anak-anak tahfiz di peringkat awal ini dapat memberi mereka pendedahan dan pengalaman dalam arena inovasi. Sekaligus menjadikan hasrat dunia pendidikan di Malaysia yang inginkan anak-anak lebih berminat dalam bidang STEM dapat direalisasikan.

Scroll to Top