Rabu | 24 September 2025 – Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) telah mengadakan latihan simulasi kebakaran (Fire Drill) sebagai langkah kesiapsiagaan warga MTNP menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan.
Latihan yang melibatkan seluruh warga kerja dan pelajar MTNP bermula pada jam 2.30 petang dengan membunyikan loceng kecemasan bagi menandakan permulaan prosedur evakuasi. Para pelajar, guru dan staf segera berkumpul di kawasan lapang dengan teratur dan mengikut arahan.
Setelah panggilan kecemasan dibuat, pihak bomba tiba di MTNP dan memulakan latihan dengan misi menyelamatkan dua orang pelajar yang ‘terperangkap’ dalam kelas.
Latihan diteruskan dengan taklimat keselamatan dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api yang disampaikan oleh Tuan Mazuki Bin Ismail; Pegawai Cawangan Program Kesedaran Keselamatan Awam JBPM Negeri Pahang. Para pelajar dan guru juga turut serta dalam latihan memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api yang disediakan.
Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan latihan ini. Semoga usaha ini dapat memupuk kesedaran dan persediaan menghadapi kecemasan terutama kebakaran dalam kalangan warga MTNP.




