6 September 2025 : MTNP telah menghidupkan bulan Rabi’ul Awwal – bulan kelahiran susuk tubuh insan agung junjungan umat seluruh alam dengan mengadakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Maahad Tahfiz Negeri Pahang Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi.
Aturcara dimulakan dengan perhimpunan semua pelajar mengikut rumah sukan MTNP di Dataran Ilmu. Kemeriahan jelas terpancar di wajah para kakitangan dan pelajar apabila setiap rumah sukan menampilkan pemakaian yang menarik dan masih kekal bersemangat dalam meraikan suasana hari kebangsaan negara di samping tidak melupakan matlamat asal sambutan Maulidur Rasul.
YH. Dato’ Haji Mohd Lafzul bin Muda Al Hafiz selaku Ketua Pegawai Eksekutif Tahfiz Pahang Sdn. Bhd. telah menyampaikan ucapan sebelum aturcara berikutnya iaitu pertandingan perarakan dan sepanduk yang melibatkan penyertaan sebanyak 4 buah rumah sukan MTNP. Dalam ucapan beliau, YH. Dato’ mengingatkan kepada para pelajar agar sentiasa memupuk rasa cinta dan kasih kepada Baginda Nabi Muhammad S.A.W serta berharap agar segala sunnah Baginda Nabi Muhammad S.A.W Yang Mulia sentiasa menjadi amalan seluruh warga MTNP. YH. Dato’ seterusnya mengetuai perarakan sekitar MTNP sambil mengalunkan selawat.
Aturcara sambutan Maulidur Rasul diteruskan dengan alunan selawat dan qasidah yang dipimpin oleh Firqah Nurul Huda Al-Hadi. Kemudian para pelajar mendengar ceramah yang bertajuk ’41 Akhlak Rasulullah S.A.W’, yang telah disampaikan oleh Al Fadhil Qadhi Daerah Kuala Lipis – Tuan Haji Mohd Zainduddin bin Zakaria yang juga merupakan alumni diploma MTNP sesi 2001. Kemuncak acara sambutan adalah pengumuman keputusan pertandingan perarakan dan sepanduk Maulidur Rasul.
Semoga sambutan Maulidur Rasul yang dilaksanakan akan dapat menyemai rasa cinta dan kasih yang mendalam warga MTNP kepada Baginda Nabi Muhammad S.A.W seterusnya diizinkan Allah untuk menjadi penerima syafaat baginda di akhirat.