Ucapan Kesyukuran, Syabas & Tahniah Dari Meja Ketua Pegawai Eksekutif TPSB

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya, yang mengizinkan kejayaan cemerlang diraih dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 seperti yang telah diumumkan kelmarin.


Patik merafak sembah setinggi-tinggi menjunjung kasih kesisi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, selaku Penaung Diraja Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang.


Setulus penghargaan turut dizahirkan kepada YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Tahfiz Pahang Sdn. Bhd., seluruh Ahli Lembaga Pengarah serta Yayasan Pahang atas doa, nasihat, panduan dan sokongan yang sangat bermakna.


Sesungguhnya kejayaan ini bukanlah kerana kehebatan kami, tetapi lahir daripada keberkatan Al-Quran serta doa yang tidak pernah putus daripada kepimpinan, para guru, pelajar, ibu bapa dan seluruh rakyat negeri Pahang.


Perjuangan ini masih panjang.


Matlamat pendidikan di Kumpulan TPSB (MTNP & MTTNP) bukan sekadar melahirkan pelajar yang cemerlang dari sudut intelek semata-mata, tetapi lebih besar daripada itu iaitu membentuk generasi Al-Quran yang bakal memimpin, mentadbir serta memakmurkan alam ini dengan nilai iman dan taqwa.


“Ya Allah, permudahkanlah urusan kami untuk melahirkan generasi huffaz yang bertakwa. Jadikanlah mereka cahaya bagi umat, dan berkatilah guru-guru serta para pelajarnya, serta kurniakanlah kejayaan dan keberkatan yang berterusan kepada institusi ini.”


اللّهُمّ أحْسِنْ إلَينا وأحْسِنْ إلٰى مَن أحْسَنَ إلينا وأحْسِنْ إلٰى مَنْ أحسَنَ إلٰى معهدِنا


“Ya Allah berilah kebaikan yang banyak kepada kami, berilah kebaikan yang banyak juga kepada orang yang berbuat baik kepada kami, dan berilah jua kebaikan kepada orang yang berbuat baik kepada Maahad kami”


Aamiinn


Syabas dan tahniah kepada semua.


وَ الْسَّــــــــــلاَمُ عَلَيْكُمُ وَرَحْمَةُ اللَّــــــــــهِ وَبَرَكَــــــــــاتُه


DATO’ HJ. MOHD LAFZUL BIN MUDA AL-HAFIZ

Ketua Pegawai Eksekutif

Tahfiz Pahang Sdn. Bhd.

Scroll to Top