PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA
KEJOHANAN SILAT CEKAK HANAFI TERBUKA PAHANG 2026 JULUNG KALI DIANJURKAN, SEMPENA HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT NEGERI PAHANG
KUANTAN, 11 OKTOBER 2026 – Kejohanan Silat Cekak Hanafi Terbuka Pahang 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 11 Oktober 2026 bertempat di KOMBES, Kuantan, Pahang, bersempena sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Pahang 2026.
Penganjuran kejohanan ini mencatat sejarah tersendiri apabila diadakan buat julung-julung kalinya di negeri Pahang. Program ini merupakan anjuran bersama Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia Cawangan Pahang dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, sebagai usaha memperkasa seni mempertahankan diri warisan Melayu serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan yang membina kecergasan, disiplin dan jati diri.
Kejohanan ini menghimpunkan para pesilat daripada pelbagai institusi pendidikan dan pasukan bagi menyertai pertandingan dalam kategori berpasukan dan berpasangan, melibatkan peringkat tunas, remaja dan dewasa. Pertandingan yang berlangsung turut menjadi medan untuk mengetengahkan kemahiran, kreativiti, semangat berpasukan dan penghayatan terhadap seni Silat Cekak Hanafi.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan muncul Johan Kategori Berpasukan Lelaki Dewasa Keseluruhan, diikuti Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Selangor sebagai naib johan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar (SABS) Pahang di tempat ketiga.
Bagi Kategori Berpasukan Lelaki Remaja Keseluruhan, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) muncul johan, manakala Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Selangor meraih naib johan dan Maahad Ihya’ Al-Ahmadi, Banting, Selangor menduduki tempat ketiga.
Kategori Berpasukan Remaja Perempuan Keseluruhan, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, Pahang muncul johan, manakala Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor dan meraih naib johan dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) , masing masing mendapat tempat kedua dan ketiga.
Pengiktirafan Pesilat Harapan Lelaki diberikan kepada Muhammad Afiq bin Mohd Yusof dari UIAM Kuantan, manakala Pesilat Harapan Wanita ialah Nur Amani binti Bongsu dari SABS, Pahang.
Majlis penutupan kejohanan dilengkapkan dengan ucapan oleh Penaung merangkap Guru Utama Silat Cekak Hanafi, Yang Mulia Tuan Haji Amruddin bin Haji Buang. Penutupan ini menjadi kemuncak kepada penganjuran yang bukan sahaja meraikan pencapaian para peserta, malah memperkukuh semangat persaudaraan, disiplin dan komitmen dalam memartabatkan seni bela diri warisan bangsa.
Penganjuran kejohanan ini turut memperlihatkan potensi kerjasama strategik antara persatuan seni mempertahankan diri dengan agensi kerajaan dalam membangunkan sukan, khususnya dalam kalangan generasi muda. Seni Silat Cekak Hanafi bukan sekadar latihan mempertahankan diri, malah menitikberatkan nilai adab, disiplin, keteguhan prinsip dan pembentukan sahsiah.
Persatuan berharap penganjuran sulung ini menjadi titik permulaan kepada penganjuran kejohanan yang lebih besar dan berterusan pada masa hadapan, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai belia untuk mengenali, mempelajari dan menghayati seni Silat Cekak Hanafi.
Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, semua peserta, jurulatih, pegawai pertandingan, urus setia, sukarelawan serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran kejohanan ini.




