Pelajar Cemerlang SPM MTNP 2022 Terima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB) 2023

27 Julai – Yayasan Pahang (YP) telah menganugerahkan Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB) tahun ini kepada empat pelajar yang berjaya mencatat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.


Penerima menerima wang tunai RM1,000, sijil kecemerlangan dan tajaan penuh biasiswa sehingga peringkat pengajian tertinggi iaitu doktor falsafah yang merangkumi antaranya yuran pengajian, sara hidup, laptop, buku, elaun tesis dan kertas projek.


Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail hadir menyampaikan anugerah kepada penerima di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan, hari ini. Dua daripada penerima adalah bekas pelajar MTNP.


Pelajar terbabit ialah


Pelajar terbaik Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Nik Hadif Darwisy Mohd Hazaki yang mendapat 11A (9A+) juga menerima tawaran mengikuti program Asasi Sains Hayat adalah hafiz 30 juzuk Al-Quran.


Seorang lagi bekas pelajar MTNP, Nurin Allya Insyira Norshamsulazman yang memperoleh 11A (9A+) juga hafizah 30 juzuk Al-Quran mendapat tawaran Asasi Sains Fizikal.


BKMB adalah biasiswa paling berprestij di Negeri Pahang dianugerahkan kepada pelajar yang benar-benar cemerlang dalam peperiksaan awam peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan aktif dalam kegiatan kokurikulum. Nilai yang ditawarkan adalah lebih tinggi daripada kebanyakan biasiswa atau pinjaman pendidikan sedia ada bagi melanjutkan pengajian hingga peringkat tertinggi iaitu doktor falsafah di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di dalam negara yang diiktiraf oleh Kerajaan.


Turut hadir ke majlis ringkas ini adalah YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad . Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi merangkap Pengarah Urusan MTNP.


Tahniah kepada semua penerima anugerah BKMB 2023!

Scroll to Top