Alhamdulillah, genap satu minggu Imam Global telah bertugas di Cobram, Australia.
Pelbagai program telah terlibat bersama komuniti setempat. Antara program harian yang sedang dijalankan ialah tadarus Al-Quran dan Klinik Tajwid untuk komuniti dewasa serta Kelas Iqra’ Kanak-Kanak. Turut diadakan bacaan kitab selepas Solat Subuh “Himpunan Hadith-hadith Sahih Siri 1 Keutamaan Puasa & Ramadhan”.
Terdapat beberapa program mingguan yang telah berlangsung. Antaranya Iftar Perdana bersama komuniti Cobram Islamic Association (CIA) pada hujung minggu. Imam Global turut bersama-sama membantu dalam menyediakan juadah iftar. Imam Global juga berkesempatan untuk menyampaikan tazkirah ringkas sebelum berbuka puasa pada Majlis Iftar Perdana tersebut.
Pada hari ini, mereka dapat bersama-sama menunaikan Solat Jumaat yang dipimpin oleh Imam Global, Ustaz Aidil Fahim. Manakala, khutbah disampaikan oleh Imam Global Muhammad Hafidzul Khairy yang bertajuk “Reviving the Heart and Soul with The Quran”.
Untuk pengetahuan kepada pembaca baru, Program imam global di Australia ini merupakan kesinambungan kerjasama hasil dari Lawatan Kerja YAB Menteri Besar Pahang ke Australia pada awal Februari lalu.
Program dengan kerjasama daripada Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang dan Cobram Islamic Association, Australia ini memberi pendedahan yang mendalam tentang amalan Islam di peringkat global serta membina jaringan antarabangsa yang kukuh dalam kalangan komuniti Islam.
Muhammad Hafidzul Khairy bin Ahmad Hafidz (Alumni MTNP SPM 2023) dan Aidil Fahim bin Mohamad Fozi (Guru Al-Quran MTNP), mewakili MTNP dan Malaysia secara keseluruhannya dalam misi penting ini. Mereka akan menyertai aktiviti keagamaan, ceramah, dan sesi interaksi dengan masyarakat Muslim di Australia, khususnya di Cobram dan kawasan sekitarnya.