Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang (SRTNP) berjaya meletakkan nama setanding dengan peserta-peserta lain dari universiti dan syarikat-syarikat ternama peringkat nasional mahupun antarabangsa apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas dalam Pameran 14th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2024.
Pertandingan yang diadakan pada 7 hingga 9 Mei baru-baru ini bertempat di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang, menampilkan dua pasukan inovasi dengan tajuk projek ‘Biodegradable C-Product’ dan ‘Mindstorm Aquaponics – Lego Fun with Plants’.
Projek ‘Biodegradable C-Product’ dijayakan oleh Nur Syifa’ Binti Mohamed Saleh, Wildan Azzuhri Bin Mohd Azlan, Muhammad Haris Sufyan Bin Khairul Anuwar dan Raihanah Mardhiyah Binti Zulkafli @ Zulkefli. Ahli-ahli kumpulan ini terdiri daripada murid-murid tahun 3 dan tahun 4.
Manakala projek ‘Mindstorm Aquaponics – Lego Fun with Plants’ diwakili oleh Yusuf Nufayl Bin Muhammad Izhar, Shaheed Adam Bin Shahrill Affiz, Sodia Azzahra’ Binti Ahamad Syamim dan Arissa Safia Binti Muhamad Aizat. Ahli-ahli kumpulan ini terdiri daripada murid-murid tahun 2.
CITREX 2024 kali ke-14 ini menyaksikan seramai 255 pempamer bertanding bagi kategori pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS), serta warga kerja UMPSA.
CITREX merupakan acara tahunan anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi yang diadakan secara fizikal bagi melahirkan ramai penyeldik dan mengenal pasti projek-projek penyelidikan yang berpotensi untuk diketengahkan yang melibatkan projek penyelidikan warga kerja selain pelajar UMPSA.
Pertandingan pada kali ini juga masih mengekalkan penjurian melibatkan barisan juri dalam kalangan industri, agensi kerajaan dan akademia luar.
Antara industri dan agensi yang hadir adalah Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Petronas, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), UMP Holdings, Indah Water Konsortium (IWK), Sime Darby, Yayasan Pahang Plantation Holdings Sdn. Bhd (YPPH), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Department of Occupational Safety & Health (DOSH), MRANTI, Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dan Capital Education & Skills Development Sdn. Bhd.
Semoga dengan penglibatan anak-anak tahfiz di peringkat awal ini dapat memberi mereka pendedahan dan pengalaman dalam arena inovasi. Sekaligus menjadikan hasrat dunia pendidikan di Malaysia yang inginkan anak-anak lebih berminat dalam bidang STEM dapat direalisasikan.
Terima kasih diucapkan kepada guru pembimbing dan ibubapa yang memberi sokongan dan dokongan dan juga kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sehingga mereka berjaya menyertai pameran CITREX kali ini.