Salam Israk dan Mikraj

Israk dan Mikraj, hubungannya dengan SOLAT


Peristiwa yang luar biasa itu merupakan satu mukjizat yang besar bagi Nabi Muhammad S.A.W kerana belum ada manusia yang melakukannya sebelum Baginda.


Allah S.W.T merakamkan peristiwa tersebut dalam surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari, dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya, Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.


Peristiwa Israk dan Mikraj ini mempunyai hubung kait dengan perintah menunaikan ibadat solat. Ibadah ini diperintahkan oleh Allah S.W.T, dengan menjemput Rasulullah S.A.W sendiri datang mengadap-Nya di Arasy, bukan dengan mengutuskan malaikat Jibril a.s untuk menyampaikannya ke dunia, seperti mana perintah menunaikan ibadah puasa, zakat dan haji.


Islam juga memerintahkan kita agar sentiasa memastikan ahli keluarga telah menunaikan solat termasuk isteri dan anak-anak. Justeru, kita disuruh memimpin dan memastikan anak-anak supaya menunaikan solat ketika berumur 7 tahun dan memukul mereka yang tidak menunaikannya ketika berumur 10 tahun.


Allah S.W.T berfirman dalam surah Toha ayat 132 yang bermaksud:


“Perintahkan keluargamu serta umatmu mengerjakan solat. Dan hendaklah engkau bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah), kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Toha : 132)


Semoga peristiwa Israk dan Mikraj menjadi iktibar kepada kita bersama dan dengan penghayatan kita kepada peristiwa hebat ini menjadikan hari esok dan hari-hari seterusnya lebih baik daripada hari ini.


InsyaaAllah.

Scroll to Top