Cawangan MTNP Pertama di Pahang Barat

Alhamdulillah, pada hari ini kita akan menyaksikan satu lagi projek bersejarah di Lipis ini iaitu penubuhan sebuah maahad tahfiz milik kerajaan negeri pertama di Pahang Barat iaitu Maahad Tahfiz Negeri Pahang Cawangan Lipis. Kompleks ini didirikan di atas tapak berkeluasan 4 ekar dengan kapasiti 150 pelajar. Projek ini dijangka siap pada April 2026 dan menelan belanja sebanyak 15 juta ringgit bertempat di Kampung Bapong, Lipis.


Majlis Pecah Tanah Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) Cawangan Lipis ini dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.


Kompleks ini dibangunkan atas saranan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri di atas keperihatinan beliau terhadap pendidikan anak-anak Pahang. Dengan pembangunan maahad tahfiz ini, diharapkan lebih ramai lagi permintaan ibu bapa yang menginginkan anak-anak mereka menyambung pengajian ke maahad tahfiz dapat dipenuhi.


Sebelum itu, Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang (YP) telah menubuhkan dua maahad tahfiz di Kuantan iaitu yang pertama MTNP di Tanjung Lumpur dan kampus kedua Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) di Balok, Kuantan.


Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang telah berjaya mewujudkan ekosistem pendidikan tahfiz di Negeri Pahang di semua peringkat pendidikan: bermula seawal 4 tahun dengan mewujudkan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (2018), Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) pada tahun 1996, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) pada tahun 2020, Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang (2021) dan yang terkini penubuhan MTNP Cawangan Lipis.


Ekosistem pengajian tahfiz yang lengkap di pelbagai peringkat pengajian yang disediakan oleh Yayasan Pahang ini adalah antara strategi membantu Kerajaan Negeri Pahang melahirkan modal insan huffaz professional, bertaqwa dan cemerlang bagi memenuhi keperluan tenaga mahir revolusi industri yang menyediakan tenaga kerja mahir yang mempunyai asas tahfiz yang jitu. Selain melahirkan ulamak muktabar hingga ke peringkat antarabangsa.

Scroll to Top