Selamat Berangkat Imam Global MTNP

Alhamdulillah, Selamat berangkat Imam Global Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang akan menggalas tugas sebagai imam sepanjang bulan Ramadan di masjid-masjid utama di Australia.


Program imam global di Australia ini merupakan kesinambungan kerjasama hasil dari Lawatan Kerja YAB Menteri Besar Pahang ke Australia pada awal Februari lalu.


Program dengan kerjasama daripada Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang dan Cobram Islamic Association, Australia ini memberi pendedahan yang mendalam tentang amalan Islam di peringkat global serta membina jaringan antarabangsa yang kukuh dalam kalangan komuniti Islam.


Muhammad Hafidzul Khairy bin Ahmad Hafidz (Alumni MTNP SPM 2023) dan Aidil Fahim bin Mohamad Fozi (Guru Al-Quran MTNP), akan mewakili MTNP dan Malaysia secara keseluruhannya dalam misi penting ini. Mereka akan menyertai aktiviti keagamaan, ceramah, dan sesi interaksi dengan masyarakat Muslim di Australia, khususnya di Cobram dan kawasan sekitarnya.


Sebelumnya, mereka telah diraikan dalam majlis ringkas bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Yang Hormat Dato’ Indera Mahmud bin Mohd Nawawi bagi memberi amanat serta kata-kata semangat kepada mereka, turut hadir bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tahfiz Pahang Sdn. Bhd., YBhg. Tuan Haji Mohd Lafzul bin Muda Al-Hafiz dan Ustaz Haji Ab Razak bin Ab Musa Saari, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang bertempat di Kompleks Yayasan Pahang.


Harapan semoga mereka dapat memberikan khidmat yang terbaik dan secara tidak langsung membawa nama baik para huffaz dan juga MTNP di mata dunia dan pulang dengan pengalaman yang sangat berharga .

Scroll to Top