Siapa sangka, anak-anak Tahfiz hari ini bukan sahaja menghafal Al-Quran, malah berpeluang meneroka dunia penerbangan!![]()
Begitulah suasana yang cukup meriah sepanjang Young Aviators Program sempena Bulan STEM MTNP, anjuran Unit Kaunseling dan Kerjaya Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang telah berlangsung pada 19 Julai 2026 di Dewan Mahkota dan Padang Bola MTNP.
Program ini membuka ruang kepada para pelajar untuk mengenali dunia Aviation dan teknologi moden secara lebih dekat. Perjalanan mereka bermula dengan perkongsian penuh inspirasi daripada bekas juruterbang Malaysia Airlines, yang membawa pelajar menyelami pengalaman sebenar dalam industri penerbangan serta berkongsi nilai disiplin, ketabahan dan keberanian mengejar cita-cita.
Majlis turut diserikan dengan perasmian oleh YH Dato’ Hj Mohd Lafzul bin Muda Al-Hafiz, Ketua Pegawai Eksekutif Tahfiz Pahang Sdn. Bhd. yang menzahirkan keyakinan bahawa anak-anak MTNP mampu terbang tinggi dalam apa jua bidang apabila diperkukuhkan dengan Al-Quran di dada dan ilmu di tangan.
Lebih menarik, para pelajar turut didedahkan dengan penggunaan drone dalam pertanian moden, termasuk teknik penyemburan baja, penyiraman tanaman dan pemantauan ladang. Pendedahan ini membuktikan bahawa teknologi bukan sekadar canggih, malah mampu dimanfaatkan untuk kemajuan ummah dan pembangunan negara.
Sorakan paling gemuruh pastinya ketika demonstrasi penerbangan dan pendaratan helikopter dan drone yang berjaya memukau para pelajar MTNP. Pelajar bukan sahaja melihat teknologi beraksi di hadapan mata, malah mendapat gambaran lebih jelas tentang luasnya peluang kerjaya dalam bidang STEM dan penerbangan.
Semoga program ini menjadi titik permulaan buat anak-anak MTNP untuk terus berani bermimpi, meneroka potensi diri dan melakar masa depan yang gemilang. Kerana di MTNP, kami bukan sekadar melahirkan Huffaz, tetapi juga generasi yang bersedia memimpin dunia dengan ilmu, akhlak dan inovasi.
Discover the Skies, Plan Your Future.
INNOVATE • EXPLORE • SOAR ![]()




